PERLEMBAGAAN

KELAB PENGGERAK PENDIDIKAN KUALA LUMPUR DAN SELANGOR
[KUALA LUMPUR AND SELANGOR EDUCATION IN ACTION CLUB]
(KELAB EIA)

NO PENDAFTARAN ROS : PPM-016-14-08092011

PERLEMBAGAAN BAGI
KELAB PENGGERAK PENDIDIKAN KUALA LUMPUR DAN SELANGOR [KUALA LUMPUR AND SELANGOR EDUCATION IN ACTION CLUB
(KELAB EIA)



FASAL 1 NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Kelab Penggerak Pendidikan Kuala Lumpur dan Selangor [Kuala Lumpur and Selangor Education in Action Club (Kelab EIA)], selepas ini disebut  ”Kelab”.


FASAL 2 TEMPAT URUSAN

(1) Alamat dan tempat urusan Kelab ini ialah Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latiff, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa. Alamat untuk urusan surat menyurat adalah juga sama.

(2) Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Kelab tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

Lambang Kelab ini yang akan digunakan pada semua kepala surat, bendera, lencana dan lain-lain alat media penghantaran mesej dan semboyan mengenai aktiviti dan kewujudannya adalah seperti di Lampiran A.



FASAL 4 TUJUAN/MATLAMAT

(1) Menyokong pelbagai aktiviti pendidikan termasuk usaha-usaha pembangunan modal insan, pemerkasaan masyarakat dan sebarang bentuk aktiviti bena upaya yang digerakkan oleh pelbagai organisasi.

(2) Menyediakan keperluan sumber tenaga manusia dan kepakaran bagi membantu dan menyokong sebarang bentuk pendidikan yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.

(3) Menyediakan keperluan logistik bagi membantu dan menyokong sebarang bentuk pendidikan yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.

(4) Menyediakan modul, program, perkhidmatan latihan, ikhtisas dan teknikal yang diperlukan organisasi dalam sebarang aktiviti pendidikan yang dirancang.

(5) Menjadi penyokong dan pemangkin kepada segala usaha pendidikan formal dan tidak formal yang digerakkan oleh pelbagai organisasi.




FASAL 5 KEAHLIAN

(1) Terdiri dari ahli biasa dan ahli bersekutu.

a.   Ahli biasa terdiri dari mereka yang berumur 20 tahun ke atas pada tarikh permohonan, warganegara Malaysia dan tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor. Jumlah ahli terhad kepada 50 orang sahaja.
b.  Ahli bersekutu terdiri dari mereka yang berumur 20 tahun ke atas pada tarikh permohonan, warganegara Malaysia dan tidak tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor. Jumlah ahli terhad kepada 20 orang sahaja. Ahli bersekutu tidak boleh mengundi dan memegang jawatan.


(2) Tiap-tiap permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicara menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang dinyatakan di atas, hendaklah setelah membayar bayaran yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Kelab dan berhaklah ia sebagai ahli.



FASAL 6 BAYARAN YURAN

(1) Bayaran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:-

Yuran bulanan RM10.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh sahaja)

(2) Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh tujuh (7) hari dari awal tiap-tiap bulan.

(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua(2) bulan dari tempoh di fasal 6(2) akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha atau wakilnya dan hilanglah hak-hak istimewanya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga(3) dari tempoh di fasal 6(2) dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Kelab dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

(5) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang  mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.




FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Kelab hendaklah memberi kenyataan bertulis dua(2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli atau ahli jawatankuasa yang gagal mematuhi undang-undang pertubuhan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Kelab boleh dipecat atau digantungkan keahliannya bagi satu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan dan penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.


FASAL 8 MESYUARAT AGUNG

(1) Pengelolaan Kelab ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli  Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat  tetapi  tidaklah berkuasa meminda undang-undang Kelab dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

 (3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Kelab hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:-

(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Kelab di dalam tahun lalu;

(b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

(c) Memilih ahli-ahli jawatankuasa bagi setiap dua(2) tahun;

(d) Melantik dua(2) Juruaudit setiap dua(2) tahun; dan

(e) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya empat belas(14) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Kelab bagi tahun lalu yang telah diaudit.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Kelab ini boleh diadakan:-

(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa.

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima(1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kelab.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu(1) bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman satu notis dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas(14) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) Fasal 8(1) dan 8(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam(6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


FASAL 9 JAWATANKUASA

(1) Satu jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Kelab hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

Seorang Pengerusi
Seorang Naib Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Seorang Penolong Bendahari
Enam orang Ahli Jawatankuasa biasa

(2)  Pemegang-pemegang jawatan Kelab ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Kelab ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

(3)  Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula untuk pemilihan tahun seterusnya.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Kelab dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Kelab mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli tujuh(7) hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada enam(6) orang ahli jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha hendaklah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu;

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.


Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga(3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang demikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.


FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

(1) Pengerusi, dalam masa menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.

(2) Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Kelab mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha hendaklah dalam masa enam puluh(60) hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Kelab kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Kelab. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(6) Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari.

(7) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


FASAL 11 KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini wang Kelab ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Kelab. Walaubagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Seribu Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Kelab.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Kelab hendaklah ditandatangani oleh dua(2) Pegawai Kelab iaitu antara Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Seribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM30,000.00 (Ringgit Tiga Puluh Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM1,000.00 (Ringgit Seribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh dua(2) Pegawai Kelab iaitu antara Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari.

(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diaudit oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata akaun yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut.

(6) Tahun kewangan Kelab ini bermula 1hb. Januari dan berkhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.


FASAL 12 JURUAUDIT

(1) Dua orang ahli yang bukannya Pegawai Kelab hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama dua(2) tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Kelab bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Kelab bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.


FASAL 13  PENTADBIR HARTA

(1) Semua harta Kelab hendaklah dinamakan di atas nama Kelab. Pemegang jawatan semasa dalam Jawatankuasa iaitu Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari hendaklah dilantik sebagai Pegawai Pentadbir Harta mengikut Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966. Mereka diamanahkan untuk mentadbir semua harta kepunyaan Kelab. Mereka akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Pentadbir harta selagi mereka memegang jawatan berkenaan di dalam Kelab.

(2) Pegawai Pentadbir Harta tidak boleh menjual, menarik balik atau menukar milik harta kepunyaan Kelab tanpa persetujuan Mesyuarat Agung Kelab.

(3) Sekiranya seseorang Pegawai Pentadbir Harta itu tidak lagi memegang jawatan dalam Kelab, maka kuasanya dengan sendirinya terlucut. Jawatankuasa berkuasa melantik ahli yang lain bagi mengisi kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung yang akan datang.


FASAL 14  TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam perlembagaan ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


FASAL 15  PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Kelab ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis.


FASAL 16 LARANGAN

(1) Sebarang bentuk perjudian seperti yang ditafsirkan dalam Jadual 1 dan 2, Akta Rumah Perjudian Terbuka, 1953 tidak boleh dimainkan di premis Kelab.

(2) Kelab atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

(3) ”Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Kelab kepada mana-mana ahlinya.


FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG

Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


FASAL 18 PEMBUBARAN

(1) Kelab ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Kelab hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Kelab yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.


(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.




.………...……..……….........            ....................................................
Nama : SAZMAN B WAHAB           Nama : MOHD RIZAM B. AB. RAHMAN
Jawatan : Pengerusi                          Jawatan : Setiausaha

Tarikh: 8hb Sept  2011 Tarikh: 8hb Sept 2011

No comments:

Post a Comment